Sekolah Kebangsaan Polis Kem pada asalnya terletak di kawasan Kem Polis Hutan dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di Batu 27, Jalan Air Hitam-Johor Bahru. Ia dikhaskan kepada anak-anak anggota kedua-dua unit polis yang pada ketika itu ditugaskan untuk menjaga keamanan kawasan ini dari gangguan dan ancaman komunis pada waktu darurat dan mengawal kampung-kampung baru yang dibina di sekitarnya.
Dibuka pada 20.01.1960, terdiri daripada 3 buah berek panjang tanpa bilik yang mengandungi 6 aliran darjah yang dipisahkan dengan sekatan sekerin .Apabila kem ini ditutup kerana anggotanya berpindah ke Simpang Renggam dan tapaknya dijadikan Lapang Sasar menembak bagi anggota Polis dan Rela, kawasan baru telah dikenal pasti dan dibina sekolah baru di Batu 26 Pekan Kelapa Sawit bagi menampung murid-murid dari kampung-kampung tradisi dan ladang kelapa sawit yang berhampiran. Sekolah baru ini dibuka pada Januari 1982 terdiri dari satu blok bangunan 2 tingkat mengandungi 8 bilik darjah, Pejabat Guru Besar , Pejabat Am, Bilik Guru, Perpustakaan, dan Kantin. Ia dibina di atas kawasan seluas 12 ½ ekar dan kos pembinaannya RM90,000.00.
Kepesatan pembangunan kawasan ini menyebabkan pertambahan bilangan murid. Pada tahun 1986 satu projek gotong-royong yang terdiri dari 4 bilik darjah dengan kos RM50,000.00 dibina. Pada tahun 1991 satu lagi projek gotong-royong yang terdiri dari 4 bilik darjah dibina dengan kos RM50,000.00.Kekurangan masih tidak dapat diatasi dan pihak pentadbir memulakan sesi petang sejak tahun 1995 .Dalam Rancangan Malaysia Ke Tujuh satu blok bangunan 4 tingkat dibina pada tahun 1998. Ia mengandungi Bilik-Bilik Khas, Bilik Guru, Bilik Muzik, Bilik Komputer, Bilik Makmal Sains, Bilik Kemahiran Hidup, Perpustakaan, Bilik SPBT, Bilik Mesyuarat , Stor dan 6 buah bilik darjah dan ia mula beroperasi pada Januari 2000.
Bilangan murid kian bertambah . Tahun 1986 hanya 323, pada tahun 1996 bilangan muridnya menjadi 636 orang dan tahun 2004 seramai 963 orang murid manakala guru 50 orang.
Mulai Januari 2002 sebuah kelas Prasekolah mula dibuka. Pada tahun 2004 sebuah lagi kelas Prasekolah dibuka. Kini jumlah murid seramai 50 orang.
Kini sebuah lagi bangunan blok 4 tingkat telah dibina diatas tapak bangunan blok A bagi menampung pertambahan murid. Bangunan baru ini antara lain menempatkan pejabat pentadbiran, kelas dan makmal sains. Dengan terbinanya bangunan ini, Sk Polis Kem menjadi mercu tanda bagi Kelapa Sawit.